Aidiladha TNB Keluar Garis Panduan Keselamatan


KUALA LUMPUR – Tenaga Nasional Berhad (TNB) mengeluarkan garis panduan keselamatan elektrik kepada orang ramai bersempena musim perayaan Hari Raya Aidiladha yang bermula esok.

TNB dalam satu kenyataan media memberitahu, nasihat itu bagi mengingatkan mereka supaya sentiasa mengambil langkah berjaga-jaga dan menitikberatkan aspek keselamatan elektrik pada Hari Raya Aidiladha tahun ini.

“Bagi mengelakkan sebarang kejadian yang tidak diingini sepanjang musim perayaan ini, para pengguna boleh mematuhi beberapa panduan yang digariskan oleh TNB,” kata kenyataan itu hari ini.

Menurut kenyataan itu, orang ramai dinasihatkan supaya mengelak daripada membuat sambungan sendiri untuk pelbagai jenis peralatan elektrik sebaliknya mendapatkan khidmat kontraktor elektrik yang berdaftar.

Orang ramai juga dinasihatkan supaya tidak menambah beban pada soket atau punca kuasa elektrik dengan penggunaan `adaptor’ elektrik secara berlebihan dan memastikan gulungan `extension cable’ dibuka sepenuhnya untuk mengelakkan ia menjadi terlalu panas apabila digunakan.

TNB turut meminta orang ramai menjauhkan `extension cable’ daripada kawasan berair jika ada pemasangan peralatan elektrik di luar rumah serta memastikan Pemutus Litar Arus Baki (PLAB) berfungsi dengan baik.

“Tutup dan tanggalkan plug dari bekalan kuasa jika tidak digunakan apabila keluar dari rumah. Jangan menghampiri kawasan larangan TNB dan laporkan sebarang kejanggalan dan pencerobohan berkaitan pepasangan TNB di talian 15454,” kata kenyataan itu.

Posting Komentar