Obama Minta Diberitahu Penemuan Makhluk Asing


Obama Minta Diberitahu Penemuan Makhluk Asing
PASADENA, California : Presiden Amerika Syarikat (AS), Barack Obama (gambar kecil) kelmarin telah mengusik beberapa saintis Pentadbiran Aeronautik dan Angkasa Lepas Kebangsaan (NASA) yang bertanggungjawab dalam penerokaan kenderaan Curiosity di Marikh.
Obama memberi arahan kepada mereka agar memaklumkan dengan segera kepadanya jika mereka bertemu dengan makhluk asing di planet tersebut.
“Jika secara kebetulan anda bertemu dengan hidupan asing di Marikh tolong beritahu saya dengan segera,” kata Obama sambil bergurau ketika dia menghubungi para saintis di sebuah makmal NASA di California dari pesawat Air Force One.
“Saya mempunyai banyak perkara lain yang perlu difikirkan namun ia (penemuan itu) akan berada dalam senarai utama saya. Walaupun ia hanya sejenis mikro organisma, saya sangat teruja untuk mengetahuinya,” kata Obama.
Kenderaan robotik Curiosity itu mendarat di Marikh pada 5 Ogos lalu dengan misi selama dua tahun untuk mencari sebarang tanda kewujudan kehidupan.
Ia mendarat di Kawah Gale yang mempunyai pemandangan Gunung Sharp dan jerebu.
Kos projek yang dikendalikan NASA itu ialah AS$2.5 bilion (RM7.8 bilion).
Kenderaan robotik berkuasa nuklear itu mengharungi penerbangan sejauh 566 juta kilometer selama lapan bulan sebelum ia tiba di Marikh. – AFP

Genneva Malaysia Dewan Rakyat diberitahu 35 000 terlibat pelaburan RM10 bilion

sinarharian
31 Oktober 2012
Awang Adek
Datuk Dr Awang Adek Hussin
KUALA LUMPUR - Seramai 35,000 pelabur dengan jumlah pelaburan mencecah RM10 bilion, dikesan terlibat dalam syarikat pelaburan jongkong emas, Genneva Malaysia Sdn Bhd (Genneva Malaysia), Dewan Rakyat diberitahu hari ini.

Timbalan Menteri Kewangan Datuk Dr Awang Adek Hussin berkata menurut maklumat yang diterima, jumlah pelaburan yang diterima ketika ini sebanyak RM4 bilion, dan boleh mencecah RM10 bilion.
Beliau berkata Bank Negara Malaysia (BNM) memerlukan masa untuk menyiasat perkara ini berdasarkan dua pertimbangan yang difikirkan perlu bagi menyelesaikan masalah skim tersebut.
"Pertama, syarikat ini berselindung dalam perniagaan emas di mana emas ini ada tarikan sentimental. Ramai berminat tidak kira latar belakang termasuk pemimpin. (Bagi mereka) Terdapat perasaan bahawa ini satu perniagaan betul.

"(Kedua) BNM terpaksa mengimbangi keadaan dan tidak boleh terus masuk pada satu masa. Contoh, kalau hari  ini masuk dan siasat, BNM pun kena marah kerana disebabkan BNM masuk, pelabur hilang pulangan.
"Jadi BNM kena imbangi, tidak boleh terlalu cepat. Keseimbangan ini penting dan mustahak. Saya  rasa kita semua akan belajar dari pengalaman ini semoga pengendalian kes lebih baik pada masa akan datang," katanya ketika menjawab soalan tambahan Datuk Ibrahim Ali (BEBAS-Pasir Mas).
Awang Adek sebelum ini memberitahu Parlimen, liabiliti syarikat pelaburan jongkong emas berkenaan melebihi aset syarikat dan keadaan itu menunjukkan Genneva Malaysia tidak mampu membayar pulangan kepada pelabur.

Baru-baru ini pihak berkuasa menyerbu Genneva Malaysia Sdn Bhd dan syarikat sekutunya kerana disyaki melanggar Akta Pengubahan Wang Haram (AMLA).
Menjawab soalan asal oleh Datuk Wira Ahmad Hamzah (BN-Jasin) mengenai tindakan kementerian dalam membendung skim cepat kaya yang menjalankan pengambilan deposit dan pelaburan haram, Awang Adek berkata BNM sedang mengkaji untuk mengenakan hukuman yang lebih berat kepada mereka yang menjalankan skim seperti itu.

Selain itu katanya kementerian dengan kerjasama agensi kerajaan lain, termasuk bahagian penguatkuasaan, mengadakan pemantauan dan risikan serta maklumat menerusi aduan orang ramai.- Bernama