Insiden amuk Pas gesa MCA minta maaf

sinar harian  15 Julai 2012
Insiden amuk: Pas gesa MCA minta maaf
Mohd Taufek (tiga,kiri) bersama Ketua Pemuda Pas Negeri, Khairil Anuar Wafa (kiri) dan Ketua Dewan Penyokong Pas, Yao Con Seng (dua, kanan) menunjukkan laporan polis yang dibuat
SEREMBAN – Pas Negeri Sembilan mendesak MCA negeri itu memohon maaf kepada umat Islam kerana didakwa mengaitkan kejadian amuk di Putrajaya dengan agama Islam, selain turut mengaitkan komponen Pakatan Rakyat (PR) itu dengan kejadian berkenaan. Pas mendakwa kenyataan keterlaluan itu dikeluarkan Penolong Setiausaha MCA Negeri Sembilan, Jason Lee menerusi laman  Twitternya baru-baru ini.

Malah, dalam satu majlis bersama rakyat anjuran MCA di Temiang pada 19 Jun lalu, kira-kira 8.30 malam, beberapa pemimpin MCA turut didakwa memberi gambaran buruk tentang undang-undang Islam, termasuk hukum hudud menerusi ceramah dan tayangan multimedia diadakan.

Pesuruhajaya Pas negeri, Mohd Taufek Abd Ghani berkata, MCA atau sesiapa sahaja dalam pimpinan parti itu tidak layak dan tidak sepatutnya bercakap soal agama Islam kerana ia adalah isu sensitif.

“Saya difahamkan pada 19 Jun itu MCA mahu anjurkan majlis debat dengan DAP berhubung undang-undang Islam termasuk hukum hudud, tapi DAP tidak datang kerana merasakan isu itu tidak sesuai diperdebatkan orang bukan Islam.

“Oleh sebab itu, MCA teruskan program dengan mengadakan ceramah tentang isu tersebut termasuk tayangan multimedia kepada orang ramai,” katanya kepada Sinar Harian selepas membuat laporan polis di Ibu Pejabat Daerah (IPD) Seremban, di sini, semalam.

Mohd Taufek berkata, MCA dinasihatkan berhatihati ketika bercakap dan mengeluarkan kenyataan tentang isu tidak ada kaitan dengan
mereka kerana ia boleh mengundang implikasi negatif.

Menurutnya, hanya individu tertentu sahaja dan beragama Islam boleh mengulas atau berhujah berhubung perkara itu dan tindakan MCA menganjurkan debat berhubung undang-undang Islam adalah tidak wajar.

“Sebagai sebuah parti politik berusia lebih 50 tahun, MCA sepatutnya menjadi parti matang dan bukan sesuka hati bercakap perkara menyentuh sensitiviti sesuatu kaum.

“Kita memandang serius perkara ini kerana ini isu agama dan mahu MCA minta maaf pada orang Islam," katanya.

Justeru itu, katanya, MCA perlu menarik balik semua kenyataan itu termasuk dalam Twitter berkenaan.

“Jika MCA enggan berbuat demikian, Pas tidak akan teragak-agak mengambil tindakan mahkamah.

“Pihak kami sedia mengadakan perbincangan dengan MCA bagi mencari jalan penyelesaian terbaik berhubung hal itu dan bersedia memberi penjelasan jika ada yang menimbulkan persoalan kepada mereka tentang Islam,” katanya.

Obama Minta Diberitahu Penemuan Makhluk Asing


Obama Minta Diberitahu Penemuan Makhluk Asing
PASADENA, California : Presiden Amerika Syarikat (AS), Barack Obama (gambar kecil) kelmarin telah mengusik beberapa saintis Pentadbiran Aeronautik dan Angkasa Lepas Kebangsaan (NASA) yang bertanggungjawab dalam penerokaan kenderaan Curiosity di Marikh.
Obama memberi arahan kepada mereka agar memaklumkan dengan segera kepadanya jika mereka bertemu dengan makhluk asing di planet tersebut.
“Jika secara kebetulan anda bertemu dengan hidupan asing di Marikh tolong beritahu saya dengan segera,” kata Obama sambil bergurau ketika dia menghubungi para saintis di sebuah makmal NASA di California dari pesawat Air Force One.
“Saya mempunyai banyak perkara lain yang perlu difikirkan namun ia (penemuan itu) akan berada dalam senarai utama saya. Walaupun ia hanya sejenis mikro organisma, saya sangat teruja untuk mengetahuinya,” kata Obama.
Kenderaan robotik Curiosity itu mendarat di Marikh pada 5 Ogos lalu dengan misi selama dua tahun untuk mencari sebarang tanda kewujudan kehidupan.
Ia mendarat di Kawah Gale yang mempunyai pemandangan Gunung Sharp dan jerebu.
Kos projek yang dikendalikan NASA itu ialah AS$2.5 bilion (RM7.8 bilion).
Kenderaan robotik berkuasa nuklear itu mengharungi penerbangan sejauh 566 juta kilometer selama lapan bulan sebelum ia tiba di Marikh. – AFP