Urus Hutan Malaysia ketiga tercorot di dunia

Harakahdaily, 05 Jan 2013
KUANTAN: PAS mempertikaikan sikap hipokrit Umno/BN dalam aspek pengurusan hutan negara apabila mereka sendiri yang bertanggungjawab mengheret Malaysia ke kedudukan ketiga tercorot di dunia berbanding 132 buah negara dari aspek pengurusan hutan.

Perkara ini telah dicatatkan dalam Laporan Indeks Prestasi Alam Sekitar Dunia yang diterbitkan Universiti Yale Amerika Syarikat baru-baru ini.

Demikian kata Lajnah Perumahan, Pengguna Dan Alam Sekitar PAS Pahang (LPPAS), Andansura Rabu (gambar atas) dalam satu kenyataannya.
 
Media Umno sejak akhir-akhir menyerang Kedah dan Kelantan kononnya gagal mengawal penebangan hutan di negeri masing-masing.

Padahal apa yang cuba dibuat Umno adalah menyekat pembangunan di negeri berkenaan khasnya menyekat sumber kewangan bagi negeri-negeri Pakatan itu.


(Kemusnahan hutan di Pahang)

Menurut Andansura, laporan tersebut juga menggambarkan betapa teruknya prestasi negara selama 1 dekad ini (2002-2012) dalam mengurangkan kesan kepada Daya Tahan Ekosistem dan Sumber Asli Negara.

Bagi Andansura, Umno sudah kehabisan modal politik sehingga sanggup menuduh Kedah dan Kelantan, sedangkan pada hakikatnya, merekalah yang sebenarnya gagal dalam menguruskan hutan di negeri yang ditadbir mereka sendiri dengan baik.

"Seperti juga isu Air, mereka menghentam Kelantan dan Selangor tetapi pada hakikatnya di Pahang sendiri Krisis Air masih tak selesai-selesai, merujuk kepada memorandum Krisis Air Pahang yang diserahkan wakil PAS Negeri ke MB Pahang baru-baru ini," katanya.

Di Pahang sendiri, katanya, boleh lihat banyak penerokaan hutan yang gagal diuruskan dengan baik contohnya di Hutan Simpan Kemasul (sebelah Felda Kemasul, Kempung Cemomoi Mancis) yang melibatkan 3000 hektar kawasan hutan.

Projek Empangan Kelau yang melibatkan 1057 hektar Hutan Simpan Lakum, Mukim Hulu Lepar di Kuantan, manakala Hutan Simpan Tekai, Kg. Bantal, dan Kg. Mat Daling yang melibatkan 700 hektar kawasan hutan.

"Tidak ketinggalan juga kawasan pelancongan di negeri itu khususnya di Mukim Hulu Jelai Cameron Highlands dan di Tasik Chini," katanya.

Bagi beliau, bukan sahaja pencemaran kepada alam sekitar akibat penerokaan hutan yang tidak terkawal ini serta kelemahan aspek penanaman semula hutan, kehidupan masyarakat Orang Asli juga terjejas.

Andansura berharap Umno khususnya Kerajaan Persekutuan dan di negeri-negeri yang ditadbir mereka tidak hipokrit dalam isu ini kerana banyak pendedahan penyelewengan pengurusan hutan di bawah Umno/BN akan didedahkan dengan lebih banyak lagi selepas ini.

Genneva Malaysia Dewan Rakyat diberitahu 35 000 terlibat pelaburan RM10 bilion

sinarharian
31 Oktober 2012
Awang Adek
Datuk Dr Awang Adek Hussin
KUALA LUMPUR - Seramai 35,000 pelabur dengan jumlah pelaburan mencecah RM10 bilion, dikesan terlibat dalam syarikat pelaburan jongkong emas, Genneva Malaysia Sdn Bhd (Genneva Malaysia), Dewan Rakyat diberitahu hari ini.

Timbalan Menteri Kewangan Datuk Dr Awang Adek Hussin berkata menurut maklumat yang diterima, jumlah pelaburan yang diterima ketika ini sebanyak RM4 bilion, dan boleh mencecah RM10 bilion.
Beliau berkata Bank Negara Malaysia (BNM) memerlukan masa untuk menyiasat perkara ini berdasarkan dua pertimbangan yang difikirkan perlu bagi menyelesaikan masalah skim tersebut.
"Pertama, syarikat ini berselindung dalam perniagaan emas di mana emas ini ada tarikan sentimental. Ramai berminat tidak kira latar belakang termasuk pemimpin. (Bagi mereka) Terdapat perasaan bahawa ini satu perniagaan betul.

"(Kedua) BNM terpaksa mengimbangi keadaan dan tidak boleh terus masuk pada satu masa. Contoh, kalau hari  ini masuk dan siasat, BNM pun kena marah kerana disebabkan BNM masuk, pelabur hilang pulangan.
"Jadi BNM kena imbangi, tidak boleh terlalu cepat. Keseimbangan ini penting dan mustahak. Saya  rasa kita semua akan belajar dari pengalaman ini semoga pengendalian kes lebih baik pada masa akan datang," katanya ketika menjawab soalan tambahan Datuk Ibrahim Ali (BEBAS-Pasir Mas).
Awang Adek sebelum ini memberitahu Parlimen, liabiliti syarikat pelaburan jongkong emas berkenaan melebihi aset syarikat dan keadaan itu menunjukkan Genneva Malaysia tidak mampu membayar pulangan kepada pelabur.

Baru-baru ini pihak berkuasa menyerbu Genneva Malaysia Sdn Bhd dan syarikat sekutunya kerana disyaki melanggar Akta Pengubahan Wang Haram (AMLA).
Menjawab soalan asal oleh Datuk Wira Ahmad Hamzah (BN-Jasin) mengenai tindakan kementerian dalam membendung skim cepat kaya yang menjalankan pengambilan deposit dan pelaburan haram, Awang Adek berkata BNM sedang mengkaji untuk mengenakan hukuman yang lebih berat kepada mereka yang menjalankan skim seperti itu.

Selain itu katanya kementerian dengan kerjasama agensi kerajaan lain, termasuk bahagian penguatkuasaan, mengadakan pemantauan dan risikan serta maklumat menerusi aduan orang ramai.- Bernama